Thursday, December 9, 2010

Miskin selepas pencen -- Dengan purata caruman RM114,000 pesara belanja RM475 sebulan Oleh NIZAM YATIM


KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai caruman terkumpul berjumlah RM224 bilion sehingga Disember 2006 namun secara purata simpanan seorang pencarumnya yang mencapai usia 55 tahun cuma RM114,000.

Dengan simpanan sebanyak itu, seseorang pencarum KWSP yang bersara hanya mampu membelanjakan RM475 setiap bulan bagi membolehkannya menampung hidup sehingga usia 75 tahun.

Perbelanjaan RM475 sebulan akan meletakkan pesara berkenaan dalam kategori golongan berpendapatan di bawah paras kemiskinan.

Pendapatan orang yang dikategorikan miskin di Semenanjung kini ditetapkan RM530 sebulan, Sarawak (RM585) dan Sabah (RM685).

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar memberitahu, pada masa ini purata caruman terkumpul kira-kira 47,500 pencarum KWSP yang akan genap umur 55 tahun pada tahun ini ialah RM114,000.

“Jumlah simpanan ini tidak mencukupi berdasarkan anggaran mereka akan menggunakan wang itu selama 20 tahun berikutan jangka hayat yang semakin panjang serta kos sara hidup yang terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual di pejabatnya di sini.

KWSP mempunyai kira-kira 11 juta pencarum dengan 47,500 orang akan mencapai umur bersara pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment