Wednesday, December 22, 2010

PENGORBANAN DAN PENGHIJRAHAN SUATU TUNTUTAN ISLAM

Mungkin kita memahami pengertian Hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah.  Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra'd ayat 11 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka."
 Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya.
(Inilah intipati yang dibawakan dalam Projek MEB)

Hijrah menuntut kepada pengorbanan yang besar, demi melaksanakan segala perintah Allah SWT kerana makna Hijrah itu sendiri ialah suatu pengorbanan untuk membawa perubahan. Tiada perubahan ke arah yang lebih baik dan cemerlang yang tidak memerlukan pengorbanan. Perubahan adalah tuntutan hidup daripada sesuatu yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik, daripada sifat Mazmumah kepada sifat Mahmudah. Oleh itu, mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar menyebut dan mengingati peristiwa bersejarah itu sahaja, tetapi yang lebih penting ialah menghidupkan "Budaya Hijrah" dalam kehidupan kita seharian.

Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, insan yang lemah bertukar menjadi kuat. Daripada kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula pengetahuan Agama dan memperkasakan iman serta membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan.
(Dipetik dari artikel asal nukilan Uzh Sabariah bt Hj Salleh)
103975

No comments:

Post a Comment